Rabu, 28 November 2012

Menghayati erti Syukur.

1. Syukur, suatu lafaz yang mudah dan sering kita biasa gunakannya, “syukur alhamdulillah atas segalanya, syukur dengan apa yang ada”, dan berbagai lagi bentuk dan suasana ayat ini dilafazkan mengikut selera apa yang kita rasa itu, namun jika dihayati erti sebenar Syukur ini adalah ungkapan yang begitu besar nilaian dan maksudnya. 

2. Sudahkah kita beryukur sebenarnya? Adakah kita ini seorang hamba yang sentiasa bersyukur? Memang bukan mudah nak bersyukur dengan nikmat yang diberi, kita selalu lupa dan alpa, kita leka bila tika sudah senang dan sihat. Jika semua boleh laksana benar-benar erti syukur ini, kita akan dapati keihsanan berleluasa berlaku dari tiap semua orang.




Firman Allah swt: Dan apabila manusia itu ditimpa kemudharatan, dia memohon (pertolongan) kepada Tuhannya dengan kembali kepada-Nya; kemudian apabila Tuhan memberikan nikmat-Nya kepadanya lupalah dia akan kemudharatan yang pernah dia berdoa (kepada Allah) untuk (menghilangkannya) sebelum itu, dan dia mengada-adakan sekutu-sekutu bagi Allah untuk menyesatkan (manusia) dari jalan-Nya. Katakanlah: "Bersenang-senanglah dengan kekafiranmu itu sementara waktu; sesungguhnya kamu termasuk penghuni neraka". (Az-Zumar 8) 

 Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan. (Yunus 12) 

 Nabi saw menyebut tentang hal seorang mukmin: “Sungguh mengagumkan urusan seorang mukmin, setiap urusannya adalah baik baginya, hal itu tidak dimiliki oleh siapapun, kecuali oleh seorang mukmin. Apabila mendapat kesenangan dia bersyukur, dan itu baik untuknya. Apabila mendapat kesusahan dia bersabar, dan itu baik untuknya”. (Hr Muslim)



3. Nikmat sihat ini, jika sering diingati dan difikirkan betapa nikmatnya nikmat sihat ini, tiada apa yang nak disanggup diingkar dan rasa untuk tidak bersyukur lagi. Tiada guna segalanya bila sakit. Tiada yang ingin untuk sakit. Sungguh besar nikmat ini. Selalulah kita ingat nikmat sihat ini. Sakit, melenyapkan segalanya. Mudahan sihat, tidak melupakan kita segalanya. Kita mohon sentiasa dalam keadaan bersabar dan bersyukur atas segala yang terjadi. 

4. Erti syukur juga ialah tingkatkan amal dan buat yang disuruh dan hindar yang dilarang. Muhasabah bagaimana keadaan aku, bilamana dapat suatu keputusan dan hasil yang mengembirakan, menyenangkan dan melegakan aku. 

5. Berbagai keinginan, nafsu memang tak akan kenyang, jangan kenyangkannya. Jika sentiasa dikenyangkan, makin selalu lapar, sentiasa rasa tidak cukup. Cukup sekadar tidak kelaparan sangat, (memenuhi hajat dan keperluan). Marilah, pandunya mengikut syariat. Syukur yang sentiasa dirasa, menterjemahkan erti syukur itu, memikir hal keadaan sekeliling. 


Rasulullah saw apabila melihat apa yang disukai, beliau membaca: 

 ((الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ)) 
 Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya segala amal shalih sempurna. 

Dan apabila melihat apa yang tidak disukai, beliau membaca: 

 ((الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ)) 
Segala puji bagi Allah, atas segala keadaan. (Hr ibn Majah, al-Albani: hasan)



6. Dalam apa-apa hal pun yang kita jalani di dunia ini, ingat selalu Allah itu Maha Adil. Jangan kita kecewa, berputus asa dan masih terus nak berdengki, rasa tidak puas hati dan itu tidak adil. Itu semua ujian dari Allah. Nabi saw pernah berpesan kepada sahabatnya:


“Abu Zarr Al-Ghifari, katanya Nabi saw pernah suatu hari berpesan kepadanya: Lihatlah kepada orang yang berada di bawah mu dan jangan melihat orang yang berada di atas mu kerana yang demikian lebih patut supaya kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang diberikan kepadamu. (agar sentiasa bersyukur)”. (Hr al-Bukhari dan Muslim) 

7. Demikian jika kita hayati benar-benar pesan Nabi kita ini, akan dilihat betapa indahnya kehidupan ini “Orang yang kaya, sentiasa melihat orang yang kurang darinya, orang yang rendah darinya melihat orang yang rendah lagi, orang yang rendah pula lagi melihat yang lebih rendah lagi, dan begitulah seterusnya sentiasa melihat kekurangan yang dialami oleh orang lain. Dari itu lahir erti syukur, membawa kepada tidak bongkak, bangga, lupa diri, tidak mencela, merendahkan orang, saling terasa ingin membantu, meningkatkan kebajikan, berjimat dan tidak suka membazir. Alangkah cantiknya dari asas merasa syukur akan nikmat kuniaan Allah kepada kita. Bersabar dan dalam masa yang terus berusaha dengan berkerja”.


اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ 

 Ya Allah! Aku berlindung dengan-Mu dari lenyapnya nikmat yang Engkau kurniakan, berubahnya kesihatan yang Engkau anugerahkan, dan kejutan kemurkaan Engkau, dan dari segala bentuk amarah-Mu. (Hr Muslim) 


15 Muharram 1434 H bersamaan 29 November 2012 M 
Khamis, 01.30 am. Terengganu, Malaysia.

2 ulasan:

  1. mohon share dan dikongsi bersama tuan

    BalasPadam
  2. mohon share dan dikongsi bersama tuan

    BalasPadam