Selasa, 20 Jun 2017

Kenapa Gagal Tarbiyah Ramadan?

Apabila kita merasa Ramadan itu peluang untuk mentarbiyah diri kita dan Ramadan itu datang untuk mentarbiyah diri kita, maka inshaAllah, kita akan berjaya mendapat hasil serta kemanisan hasil itu.

Namun yang menjadi Ujiannya ialah kita tidak merasa apa-apa selain ibadat sekadar adat, keseronokan bazzar, berniaga dan persiapan raya.

Lantaran kejahilan dan kelalaian, lalu Ramadan hadir dan berlalu dengan sama kehidupan kita.

Disebut di dalam Hadis, dimana Malaikat Jibril mengaminkan doa dari Nabi ﷺ yang bermaksud, “Celakalah (malanglah, rugilah), sesiapa yang diberi kesempatan bersama Ramadan, namun dosanya tidak diampuni”. ¹

Lagi ada Hadis menyebut, “Di bulan Ramadan, ada seruan, “Wahai orang yang menginginkan kebaikan, maralah. Wahai orang menginginkan melakukan kejahatan, tahanlah”. ²

Justeru itu dikesempatan Minggu terakhir, marilah sama-sama kita memohon sebanyak-banyak kemaafaan dan mempergandakan ibadah serta menjaga sebaikanya ibadah puasa kita. Semoga kita berjaya mencapai tujuan Taqwa dari puasa ini, inshaAllah.

¹) HR. Al Bukhari di dalam Adab al-Mufrad.
²) HR. At Tirmidzi.

Sabtu, 17 Jun 2017

Jika Hidup Buntu.

Jika hidup buntu, hilang arah tujuan, tiada kekuatan untuk berubah, tidak tahu dari mana hendak dimulai, seolah sempit dunia, apatah lagi soal akhirat. Rasa dibelenggu dosa, sukar keluar dari suasana hidup yang lalai.

Maka Ramadan ini peluangnya. Sama-sama kita mulakan kembali.

Taubat nasuha, mohon keampunan sebanyak-banyaknya, buat perkara yang disukai Allah. InshaAllah, tiada lah yang paling besar selain berjaya mendapat Kemaafan dari Allah dan Dikasihi Allah.

Dengannya pasti dikurniakan jalan keluar, dikurniakan kemanisan Iman, dan kekuatan menghadapi Ujian-ujian kehidupan ini.

Apabila Ibu dan Isteri Rajin Memasak.

Seorang ibu bila dah selalu masak sedap-sedap untuk anak-anak, dan jarang sangat ajar anak makan di kedai, jadi anak pun lebih seronok dan selesa masakan ibu, dan kurang minat makanan diluar.

Begitu juga isteri bila rajin berkorban masak sedap-sedap untuk suami, suami pun dah malas dan kurang selera pergi kedai, dan juga untuk ajak keluar makan kat kedai. Terima kasih isteriku.

Jaga Syariat Dalam Berniaga.

Kalau kita berniaga, ataupun apa sahaja kerja yang kita buat dalam mencari rezeki, kita inginkan berkat, pahala dan rahmat Tuhan disebalik semuanya itu, sebab dengannya memberi ketenangan, kecukupan harta dan hidayah dalam kehidupan kita, dan keuntungan sebenar di hari Akhirat kelak. Bukan keuntungan dunia semata. Mungkin dari hasil dan jalan mencari rezeki yang tidak diambil kisah dosa pahala, akan membawa kita jauh dari hidayah Tuhan, lalu untung yang diperolehi diguna dijalan yang lalai, sedang harta kelak ditanya, dan cari rezeki itu boleh jadi satu Ibadat.

Bagaimana pula kita meminta kepada Tuhan dan mencari rezeki yang milik Tuhan, tapi kita tidak ikut suruhan Tuhan dahulu.

Berniaga itu perlu dilihat barang apa yang diniagakan? Di waktu mana? Dan bagaimana akhlak dan amanah sewaktu jual beli? Ketiga-tiga ini hendaklah dinilai. Kadang ada juga yang bagus imej Agama dalam berniaga, namun tidak menjaga kebersihan, menipu, dan menjual Agama, ini juga semoga dijauhkan.

Rabu, 14 Jun 2017

Tarawih di Sana'a.

Ini antara kenangan Solat Tarawih di salah sebuah Masjid di Sana'a dahulu sekitar tahun 2008.

“Teringat tarawih di Sana'a dulu, satu rakaat hampir setengah jam Imam baca, jadi Masjid tu buat 4 rakaat sahaja, pastu rehat dan sambung balik qiam tarawih 4 rakaat lagi pukul 3 pagi beserta witir. Selalu terfikir nak cabut lari, hehe, tapi waktu solat tu saya perasan disebelah kiri saya ada budak masih remaja yang bersama solat, bila tengok disebelah kanan pula ada pakcik yang dah berusia juga solat bersama, dan ada pakcik yang duduk atas kerusi roda tetap solat. Jadi cancel balik nak cabut lari, sebab rasa malu dan ianya sangat memberi motivasi. Alhamdulillah. Kenangan tarawih zaman belajar dulu.”

Semoga ada manfaat, terima kasih.

Facebook 1

⚫ Di dalam Fb ini ramai yang tidak berpelajaran, kerana syarat untuk dibuka akaun Fb ini hanyalah murah dan mudah sahaja caranya, semua lapisan masyarakat dan tahap minda masyarakat boleh lulus serta lepas.

⚫ Justeru bagi saya jika terdapat komentar-komentar yang kita tidak setujui serta tidak betul dan mengarut, maka jawapan yang paling baik saya sarankan ialah diam, tidak dilayan dan abaikan, jika nak di unfriend atau block itu terpulang.

⚫ Cadangan ini bukan ingin merendahkan atau ego, maaf, tetapi untuk mengelak pergaduhan dan akhlak yang tidak baik dari kedua-dua pihak, dan untuk mencari lebih banyak kebaikan. Sebaiknya jika mampu ajaklah bertemu.
Sekadar pandangan saya.

Ahad, 11 Jun 2017

Zikir Taubat.

⚫ Rasulullah ﷺ bersabda:

وَمَنْ قَالَ سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ فِي يَوْمٍ مِائَةَ مَرَّةٍ حُطَّتْ خَطَايَاهُ وَلَوْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ.

Barangsiapa membaca, “Subhanallahi Wabihamdihi (Maha Suci Allah dan Segala Puji bagi-Nya)” seratus kali dalam sehari, maka dosanya akan dihapus, meskipun 
sebanyak buih lautan. [HR Muslim]

⚫ Dari Abu Hurairah رضي الله عنه, ia mendengar Nabi ﷺ  bersabda:

وَاللَّهِ إِنِّى لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِى الْيَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً.

“Demi Allah, sesungguhnya Aku beristighfar pada Allah dan bertaubat pada-Nya dalam sehari lebih dari 70 kali.” [HR. Bukhari]

Semoga kita sentiasa beristighfar serta memohon taubat pada Allah, dan semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita.

Jumaat, 9 Jun 2017

15 Ramadan, dah Nak Raya.

Alhamdulillah, sudah 15 Ramadan. Hari ini hari minggu, sudah pasti ramai yang sedang berehat dengan mengambil kesempatan untuk tidur, mungkin seronok dan penuh nikmat kan? Hehe. Namun saya disini tidak dapat tidur, bukan sebab kerja, bukan sebab sibuk, bukan sebab buat persiapan Raya juga, tetapi sebab tengok anak yang buas dan segar di pagi hari ini. Jadi sambil-sambil itu, boleh lah saya menulis dengan perasaan menahan tidur ini.

Ramadan sudah hendak masuk ke fasa akhir, maka Raya pun sudah semakin dekat. Lagu Raya telah kedengaran, sembang-sembang tentang Raya mula keriuhan, kita juga sudah mula menanti-nanti lagu Raya di siaran radio. Semua orang gembira. Meriah. Indah. Alhamdulillah. Itu adat kita, tidak salah hadir keseronokan itu.

Pada muslimin dan muslimat, kita buatlah persiapan awal, kita ambil kesempatan di hari cuti ini, selesaikan cepat-cepat proses persediaan raya ini. Baju Rayanya, langsir Rayanya, kenderaan Rayanya, duit Rayanya, biskut Rayanya, kos bajet Rayanya. Untuk diri, ibubapa, isteri dan juga anak. Kita buatlah awal, ia lebih baik, ia tiada masalah jika nampak semacam terlalu awal pun, bahkan puasa pertama lagi sudah bagus jika sudah dipersiapkan, tapi maklumlah mungkin ramai seronok tunggu di penghujung sebab baru ada jualan murah dan feling raya kan?

Tetapi bagi saya, saya galakkan awal. Kerana apa? Kerana saya sedih memang selalu masyarakat kita diwaktu-waktu sebegini sudah meninggalkan “Ibadah Ramadan”, berbagai janji kebaikan Ramadan sudah tidak diambil endah lagi, kegembiraan nak beraya sepatutnya tidak mengganggu Ramadan kita, kenapa sampai terabai Ibadah Ramadan? Beraya-berayalah, persiapan raya-persiapan rayalah. Kita susun masa betul-betul dan tetap terus fokus ibadah ni. Ok?

Ada lagi pesanan ni. Pakaian kita. Ya pakaian. Wanita jagalah pakaian Raya kita, dan sudah pasti hari-hari kebiasaan kita. Nak cari baju, cari yang tidak ketat, sendat, nipis, jarang, singkat, terbelah. Cari yang tidak tabarruj, iaitu design yang terlebih menarik perhatian. Lelaki pula, hendaklah menutupi aurat, jauhi pakaian yang mempunyai tulisan serta corak yang tidak Islamik.

Sewaktu bershoping, usahlah membazir, cukup bersederhana, banyakkan bersyukur, manfaatkan harta pada tempat sebaiknya, sebab segalanya nanti ditanya Pencipta kita.

Ingat orang yang susah, jangan sampai bergaduh, jangan sampai tidak bersyukur, jangan tidak dibantu mereka yang susah. Kita tidak tahu, betapa ramai insan yang tiada apa kemeriahan disisi mereka kerana susah, memang betul susah, hanya kita tidak tahu. Jadi biasa-biasa sudahlah.

Rebutlah ganjaran Ramadan. Agar Ramadan kita diampun Allah dosa-dosa kita, itulah kejayaan terbesar. Nanti mula berhimpit lelaki perempuan tanpa segan batasan dosa pahala lagi hanya kerana shoping, itu juga hindarkanlah.

Akhirnya. Selamat membuat persiapan Raya. Dan selamat menghidupkan sebaiknya anugerah Ramadan ini. Semoga kita beroleh matlamat Taqwa. Aamiin.

Ahad, 4 Jun 2017

Gembira walaupun Susah.

Seorang pemuda ini menceritakan kisah beliau bersama dengan rakannya yang sangat susah kehidupannya, namun pemuda ini melihat pada setiap hari dan rutin kehidupan rakannya itu tetap dalam keadaan tenang, ceria, gembira dan seolah serba cukup segala-galanya. Lalu ditanyakan kepada rakannya kenapa kamu tidak nampak seperti seseorang yang sedang berat diuji?

Lalu dijawab rakannya, “Kerana aku melihat ramai lagi insan lain yang lebih susah dan lebih hebat ujian dihadapi mereka, dan terdapat juga ujian berat yang sedang dilalui mereka yang aku tidak ketahui pastinya ada”. Justeru dengan memikirkan hal berikut menyebabkan aku merasa sangat bersyukur dan merasa perlu menggandakan lagi kesyukuran ini dengan apa sahaja ujian dari Tuhan. Itulah jawapan dalam rutin harian kehidupan ku yang sentiasa terdetik.

Ya, benar lah. Mari kita meyakini Sabda Nabi SAW dan Firman Allah SWT ini:
“Pandanglah orang yang berada di bawahmu (dalam masalah harta dan dunia) dan janganlah engkau pandang orang yang berada di atasmu (dalam masalah ini). Dengan demikian, hal itu akan membuatmu tidak meremehkan nikmat Allah padamu.” [HR. Bukhari dan Muslim]

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu.” [Al Hujurat: 13]

“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada bentuk, rupa dan harta benda kalian, tetapi Allah memperhatikan hati dan amal-amal kalian”. [HR. Muslim]

Itulah hakikat sebuah kehidupan, semoga kita beroleh pelajaran.

Sabtu, 3 Jun 2017

Belajarlah Bahasa Arab Dahulu.

⚫ Bagi saya sesiapa yang ingin mempelajari bahasa lain selepas bahasa melayu, maka jawapannya adalah mempelajari bahasa arab.

⚫ Jika sudah boleh memahami bahasa arab, barulah diharuskan untuk belajar bahasa apapun selepas itu.

⚫ Nampak memang tak kena jika bahasa inggeris, china, korea atau selainnya lagi kita sanggup belajar kerana minat atau atas faktor keuntungan dunia, namun bahasa arab kita abaikan dan tidak memaksa diri untuk mempelajarinya.

⚫ Sebabnya ialah bahasa arab sangat berkait rapat dengan kefahaman Agama kita. Kita solat, kita berdoa, kita membaca al Quran, kita mendengar bacaan al Quran, dan banyak lagi.

⚫ Justeru ia lebih perlu diutamakan dalam pengorbanan usaha bagi sesiapa yang ingin menambah bahasa ini. Nasihat ini untuk peringatan diri saya juga, saya sendiri juga masih lemah dalam bahasa arab. Jika buta bahasa inggeris kita mungkin kurang celik tentang IT, tetapi dengan memahami bahasa arab, ia akan lebih dekat membawa kita dalam mengenal serta menghayati Keindahan Islam ini.

Selasa, 30 Mei 2017

Berdoa dan Bersegera Berbuka.

Sunnah kepada kita banyakkan berdoa ketika hampir berbuka puasa, dan menyegerakan makan tatkala masuk waktu berbuka.

Jadi kita sudah boleh tentukan masa sebelum 30 minit masuk waktu berbuka atau 15 minit untuk memanjatkan doa-doa kepada Allah. Dan sejurus tepatnya masuk waktu Ifthar, terus makan.

Tinggalkan dulu segala kerja lain dan perkara yang sia-sia, inshaAllah kita fokus untuk betul-betul berdoa.

Maka tidaklah perlu menunggu kedengaran azan berkumandang, lalu baru hendak dimulai bacaan doa, dan hatta bacaannya pula diwaktu itulah nak dipanjangkan.
Kesilapan ini kerap dilakukan dalam kebiasaan majlis, sepatutnya apabila azan dilaungkan, baca بسم الله dan makan. 

Indahkan... .

Ahad, 28 Mei 2017

Bazzar & Fitnah Wanita.

Seperti biasa setiap kali bermula Bazzar maka akan ada yang menyuarakan tentang masalah aurat wanita yang tidak diambil kisah lagi.

MENUNDUKKAN PANDANGAN.

Setiap mukmin amat ditekankan agar memelihara pandangan dan mengelak dari ke tempat-tempat yang bercampur serta bertempuh-tempuh antara lelaki dan perempuan, apatah lagi dengan pemakaian yang begitu seksi.

Di dalam keluarga saya. Dahulu Ibu sangat tidak suka ke Pasaraya kerana atas faktor-faktor ini, hinggalah juga sekarang, dan saya juga seperti begitu kadang-kadang. Jika di Kuala Terengganu, Ayah akan pergi membeli-belah di Pasaraya Sabasun sewaktu saya kecil lagi, kerana Pasarayanya lebih Islamik dari sudut sosial, barangan yang dijual, pengiklanan, penjagaan aurat dan lain lagi.

Namun, takkan sampai begitu sekali? Dan sudah tentu kita tidak dapat melarikan diri jua jika dilihat persekitaran suasana hidup di zaman sekarang ini? Ini jumud, sempit dan ketinggalan. Mungkin persolan ini ada bermain dalam kepala dikalangan kita.

Beginilah, kita ada pilihan sebenarnya. Kita ada cara dan acuan hidup orang beriman. Kita tidak ketinggalan. Kita tidak kerugian. Kita juga tidak kejumudan. Yang perlu bagi kita ialah berusaha mengikuti perintah Tuhan. Itulah puncak Kejayaan. Penting menjaga pandangan, segala masalah bermula dari pandangan, besar hikmah kejayaannya dalam kehidupan, dan bimbang hilang pahala puasa makan minum yang ditahan. (Ini termasuk menjaga pandangan di media sosial fb, televisyen dan sebagainya).

Jika dharurat, terpaksa, tiada pilihan dan menyukarkan, kita teruskan. Jika suka-suka dan masih banyak pilihan serta kemudahan, sebolehnya kita elakkan. Jika mampu dikawal dan tujuan dakwah, maka dibolehkan. Jika sekali-sekala atau jarang jarang mungkin tidak mengapa.

BAZZAR RAMADHAN.

Begitulah di Bazzar Ramadhan, jika diperhatikan besar sungguh fitnahnya, fitnah wanita dan kepadatan lelaki dan perempuan bercampur. Lagi pula sedang Berpuasa. Bukankah di Bulan ini diperingatkan agar lebih menjaga suruhan dan larangan Allah, memohon keampunan dan menggandakan ketaatan. Bagi wanita, ibu serta isteri yang sempat membuat kuih, sangatlah bagus. Jika ingin jua ke Bazzar, terus cepat-cepat membeli dan segera pulang. Jika ada tempat-tempat lain yang kurang fitnahnya, maka kita pergilah ke tempat tersebut.

AURAT WANITA.

Aurat wanita seperti sudah dimaklumi umum ianya adalah wajib tanpa sebarang khilaf lagi. Baik dibulan lain atau puasa. Justeru bagi wanita muslim yang disayangi, marilah sama-sama bermuhasabah dan memperbaiki masaalah aurat kita, baik dibulan lain dan terutama di Bulan Ramadhan yang menjadi peluang untuk kita berhijrah.

Pakailah pakaian yang baik-baik, hindari mendedahkan kepala (rambut), pakaian sendat, ketat, jarang, nipis, nampak rupa bentuk, singkat dan terbelah. Dan jauhilah fitnah pakaian bertabarruj (berhias berlebihan), wangian terlebih, berhimpit dan bergaul bebas di Bazzar. Juga kepada peniaga, jaga kebersihan, halal haram jualbeli, dan pemakaian. Semoga ganjaran Puasa yang besar kita ini diterima Tuhan. Semoga kita menjadi hamba yang Bertaqwa. InshaAllah.

Semoga kita menyedarinya. Ramai suka ke tempat tersebut kerana banyak mata lelaki memerhati dan ramai wanita untuk dipandang.

Nanti masuk musim perayaan juga demikian, dan kita juga ada pilihan sebenarnya. Semoga ada manfaat bersama.

Sekian.

Jumaat, 19 Mei 2017

Pilihan Syukur di Tangan Kita.

⚫ Jika kita memilih untuk bersyukur, الله akan perlihatkan kepada kita mereka yang lebih memerlukan. Lalu kita menjadi hamba yang bersyukur.

⚫ Jika kita memilih untuk tidak bersyukur, الله akan mencampakkan rasa tidak puas-puas dalam hidup. Lalu kita menjadi hamba yang masih tidak bersyukur.

⚫ Syukur dengan erti kata menyedari besarnya kurniaan الله dan memanfaatkannya di jalan yang betul. Istiqamah mentaati الله dan menggandakan lagi amal kepada الله.

Khamis, 27 April 2017

Kes Adik Thaqif.

Saya tidak percaya sebab kerana batang paip, namun itu sudah taqdir dan ada hikmahnya untuk difikirkan dan untuk menjadi sebab hingga berlaku kematian.

Saya tidaklah ingin meletakkan kesalahan dan kelemahan kepada sekolah, pengajian Agama dan tahfiz serta guru sepenuhnya, namun ada beberapa perkara yang ingin dikongsikan.

Dahulu saya juga dari kecil sampai besar berada dalam sekolah agama swasta hingga juga pernah bekerja di bidang yang sama. Diwaktu belajar dahulu saya amat memandang serong dengan sekolah yang dibawah kerajaan dan marah kenapa perlu mengikuti sekolah kerajaan yang biasa didengari ketika itu sistemnya teruk lagi-lagi penekanan tentang Agama.

Hinggalah apabila saya bekerja selama beberapa tahun di bidang tahfiz barulah saya faham. Baru saya faham apa yang saya fahami dahulu ada sedikit kesilapan, dan sepatutnya elok juga berdaftar dan bagus jika pemantauan dari kerajaan dijalankan dan diperketatkan. Namun tidak dinafikan sudah pasti ada pro kontranya tersendiri apabila berdaftar sepenuhnya dengan kerajaan. Yang ingin ditekankan disini ialah apabila terjadinya kes-kes sebegini.

Ia kerana banyak rahsia, hal disembunyi, ketirisan dan ketidakjujuran. Banyak perkara yang tidak betul, salah, zalim dan kegagalan dalam pengurusan serta peraturan, kadang faktornya juga kerana silap dalam memahami cara yang betul dalam beragama.

Contoh bila bercakap tentang kelemahan yang ada. Mungkin disekolah lain terikat dengan peraturan atau penipuan dunia yang menjadikan siapa diatas dan dibawah. Namun disini pula penipuannya adalah dengan nama Agama, masalahnya ditutup, tidak diakui kesalahan, dan lebih kecewa diungkapkan, “Biasalah, sekolah Agama.” Sedangkan itu kesilapan tindakan dan pemikiran ustaz tadi, maka sampai bilalah ia tidak akan dapat diubah.

Jika dipihak yang berkerja dengan kerajaan banyak skema wajib dipatuhi, namun di beberapa buah sekolah Agama lebih kepada ihsan dan bermudah-mudah. 

Nasiblah jika yang benar jujur dan bertaqwa maka selamatlah, tapi jika sebaliknya maka habis rosaklah. Lalu memberi kesan ke semua sudut pengurusan. Maklumlah sekolah sendiri, tidak berkait dengan sesiapa dan sesama bergelar ustaz.

Sudah sampai masanya mungkin bagi pihak kerajaan dan jabatan Agama untuk lebih rajin memantau di setiap sudut berkenaan keseluruhan pembentukan perjalanan sekolah Agama dan tahfiz ini. Namun yang bimbang juga dipihak jabatan Agama juga bermudah-mudah kerana sesama ustaz dan label agama.

Sudah sampai masanya NGO-NGO, ibubapa dan masyarakat untuk sibuk mengambil tahu sedalamnya tentang pusat pengajian-pengajian Agama ini. 

Jangan biarkan ia seolah ada jurang dan tabir dalam hubungan dengan sekolah. Jangan malu, takut dan merasa salah untuk dipersoalkan.

Saya teringat ketika pernah ditemuramah oleh Rtm dengan spontan berhubung apa kebaikan sekolah yang berdaftar atau tidak. Maka saya menjawab, “Ada pro kontranya. Mungkin dipihak sekolah tidak mahu banyak urusan dan halangan dengan kerajaan, tapi sebenar baik juga didaftar agar dapat dipantau dan dikawal akan sebarang masalah dan sebelum terjadi masalah”.

Kita tidak mahu akhirnya senyap kerana itu Ustaz dan Sekolah Agama.

Faktor kamasukan keluar masuk guru yang kerap disekolah Agama dan tahfiz perlu diperhati sebaiknya. Kadang hal ini didiamkan.

Kesan pengurusan yang lemah antara punca membawa kearah kes-kes sebegini. Kadang warden stress lalu menjadi mangsanya pelajar.

Pandangan Saya,

Jabatan Agama mestilah mengambil tahu dengan sebaiknya sekolah-sekolah yang telah berdaftar.

Jabatan Agama boleh berbincang dengan sekolah-sekolah swasta yang telah berdaftar. Apa syarat yang wajib atau yang tidak berkait boleh dilaksanakan.

Sekolah Swasta Agama yang sekarang semakin cepat tumbuh mestilah dipantau oleh kerajaan walau masih tidak berdaftar. Dan pengasas sekolah tersebut mestilah jujur atau NGO-NGO, badan-badan, parti-parti dalam organisasi yang berkait menubuhkan sekolah itu hendaklah adil dan mengikut disiplin dan skema yang sebaiknya.

Masyarakat kena selidik dengan cermat, kena faham tujuan dihantar anak dan kena berani bersuara. Kena faham tentang hakikat proses tarbiyah anak ini. Tidak semesti dihantar ke sekolah agama contohnya.

Akhirnya,

Cukup disini sedikit perkongsian, moga ada pengajaran bersama. Semoga Adik Thaqif tenang dialam kubur sana, dan Allah memberikan pahala yang besar buat keluarganya diatas ujian ini.

Beringat sebelum terjadi yang bukan-bukan.
Wallahu'alam.

Ahad, 16 April 2017

Elakkan Taksub dan Ghuluw.

⚫ Taksub dan ghuluw menyebabkan "yang diseru" lari dari menyeru. Kerana penyeru tadi tidak mampu menerangkan apa yang disokong serta didokong dan lebih kepada cepat menghukum lantaran penyakit taksub dan ghuluw.

⚫ Mereka merasa seronok bahkan sudah betul dengan sebab orang melarikan diri atas pemahaman itulah perjuangan, sedangkan ia berpunca daripada akhlak yang buruk dan kegagalan menjelaskan dan memberi kefahaman dengan baik.

⚫ Itu satu kesilapan dan kelemahan yang perlu disedari dan diperbaiki.

⚫ Semangat sudah bagus, namun hendaklah seiring dengan ilmu.

Semoga sama-sama kita merubahnya. InshaAllah.

Khamis, 13 April 2017

Syukur Urusan Yang Dipermudahkan.

⚫ Jika Allah ingin menguji, hal kecil seperti menjadi besar dan berat diuruskan. Lama tempohya, berpanjangan untuk diselesaikan.

⚫ Jika Allah ingin merezekikan, hal besar senang dan mudah jalannya. Ringan beban dan tiada kerunsingan.

⚫ Ia penting direnungi, kerana tatkala kegagalan mengawal ujian yang walau kecil itu, pada kesukaran dan kesusahan dihadapi, menyebabkan kezaliman diri kita melakukan kesilapan lain.

⚫ Berdoa, berusaha dan berserah pada-Nya selalu. Syukuri sebaiknya Nikmat dalam apa jua urusan yang dipermudahkan.

InshaAllah.

Sihat, Rezeki Harta Yang Paling Besar.

⚫ Sihat itu suatu nikmat rezeki yang tak terkira jika nak diukurkan pada nilai duit, mungkin beratus, ribu dan juta.

⚫ Kurniaan sihat itu adalah sama, seolah satu kurniaan rezeki harta benda juga kepada kita sebenarnya.

⚫ Jika sihat, kita boleh mencari rezeki, jika sakit kita tidak boleh mencari rezeki lagi. Maka sihat itu suatu yang besar untuk sentiasa diingati dan disyukuri.

⚫ Seorang yang sakit hingga memerlukan kos beratus ribu untuk sembuh, demikian apabila kita sihat, ibarat kita dianugerahkan duit beratus ribu tersebut.  

⚫ Hatta pula ketika keadaan seseorang yang sakit, sudah pasti ingin segera agar menjadi sihat, lagi lah tinggi kos rawatannya.

⚫ Justeru itu, marilah sentiasa kita syukuri. Mempergandakan amal, memelihara amal sedia ada, meninggalkan dosa dan noda. Mengingati segala pemberian Tuhan.

Sabda Nabi ﷺ: Dua nikmat yang (dilupai, tertipu, lalai) oleh kebanyakan manusia, iaitu Sihat dan Masa Lapang. (HR Al-Bukhari).

Jauhilah dari Ketagihan Internet.

Bahana ketagihan internet terutama fb, wassap, game dan sebagainya lagi bukan kepada orang muda sahaja, namun juga kepada yang sudah berusia. Termasuk hiburan kebebasan sosial yang lalai dan teruk didalamnya.

Bagi saya ia lagi kurang elok dan lebih berat musibahnya apabila sudah berumur dan dalam institusi sebuah keluarga, kerana:

1) Contoh ikutan buat anak-anak dalam tindakan ibubapa.
2) Hubungan kasih sayang dan komunikasi lemah bersama anak-anak.
3) Kurang berbual, bertanya khabar dan memanfaatkan masa berkeluarga yang sepatutnya sangat diperlukan.
4) Masaalah dan tekanan kepada anak.
5) Kelalaian diusia tua bagi ibubapa itu sendiri.
6) Kesan buruk akibat dari ibubapa sendiri.
7) Berbagai masalah dunia dan agama.

InshaAllah, sama-sama lah kita menyedarinya dan berubah.

Jumaat, 31 Mac 2017

Guru Yang Mursyid.

Bismilllah. Apabila kita ingin menjadi guru, ustaz, ulama’, dan pendakwah. Maka tanggungjawabnya sudah pasti besar dan mengatasi tanggungjawab yang lain, kerana kita telah meletakkan diri kita dibahu ummah. Ia pula bukan sekadar soal urusan dunia, namun menjadi penyuluh hingga jalan menuju akhirat. 


Gambar Sekadar Hiasan

Sesungguhnya seorang guru tidak cukup hanya dengan sekadar menjadi syarat mengongsikan ilmu sahaja, lalu dibiarkan dan seolah terpulang kepada masyarakat iaitu atas masing-masing untuk memanfaatkannya atau tidak, bahkan bagi guru itu yang penting sudah disampaikan dan diterangkan, dan guru tersebut pula dengan minat dan cara kehidupannya.

Namun seorang guru itu sebenarnya ada hubungan yang rapat dengan mad'unya (orang yang diajar dan diserunya). Mengambil berat, bertanya khabar, sentiasa menyeru dan menegur, tidak berputus asa mengajak, mencari idea dan jalan untuk mendekati dan memberi nasihat, membimbing, merasa bersalah, merasa risau, resah dan sedih, berdoa berharap dan mengadu kepada Allah, memandu ummatnya, memegang erat ingin memastikan juga hingga berjaya diubah, disedarkan dan difahamkan. 

Kita fikir dan bimbang, pada apa yang kita telah sampaikan sejak dahulu pergi ke serata tempat, dengan kehadiran sambutan yang hebat, namun yang kita lihat perubahan masyarakat masih lemah dan lalai juga. Tahap minda masih sama. Mungkin terdapat kesilapan kaedah dan mesej dakwah yang kita sebarkan. Serta hubung kaitnya apa yang difahami dari tanggungjawab dakwah itu. 

Guru dan murid boleh diumpamakan juga seperti hubungan penjual dan prospek. Mesti follow, mesej dan sebagainya lagi sampai berjaya. Dengan bermacam kaedah dan panduannya yang sangat teliti. 

Kita tidak mahu dakwah sekadar menulis buku, lalu penulis tersebut berlepas tangan kerana sudah letih menulis dan berjaya diterbitkan. 

Yang kita harapkan ialah Guru yang Mursyid. Yang berjaya membuktikan dapat memandu ummat dengan ilmunya daripada Allah, dan ummat terpandu dengan ilmu dan watak hidupnya. 

InshaAllah, semoga sama-sama kita berusahah kearah itu. Ini nasihat buat diri saya sendiri. Semoga Allah membantu kita semua. Aamiin.

Khamis, 30 Mac 2017

Tawadhuk dalam Takabbur.

Antara tipudaya syaitan itu juga ialah seorang hamba yang terlalu ingin tawadhuk sampai sentiasa menceritakan tentang kesusahan dan menipu dari keadaan sebenar yang dilalui oleh dirinya sendiri.

Jumaat, 3 Mac 2017

Ingat Anak Itu... .

Anak itu antara anugerah, nikmat dan hiburan dari Allah, juga ujian dan aset akhirat kelak.

Agar dirinya beroleh kejayaan, dan ia kejayaan kita juga menjadi qurrotu a'yun didunia dan sebagai bekalan selepas kematian nanti.

Perlu dididik dengan Agama, dan sudah tentu ibubapa perlu mempunyai ilmu, dan mengamalkan ilmu.

InshaAllah terbina zuriat yang soleh. Semoga kita semua kuat berhadapan ujian dalam mendidik diri serta anak-anak, lagi-lagi dizaman yang dasyat fitnah ini.

Isteri & Suami Saling Menjaga.

Isteri itu menjaga suaminya, iaitu memastikan suami terselamat dari melakukan yang haram. (Tidak menjaga pandangan terhadap wanita lain, bergurau senda, dan fitnah seumpamanya lagi).

Suami juga menjaga isterinya, iaitu memastikan isterinya terhindar dari perbuatan yang haram. (Tidak mendedahkan dirinya pada lelaki lain, pada khalayak ramai, dipuji dan ditegur lelaki lain, mekap dan tabarruj menarik perhatian lelaki, membuka aurat, bergurau senda, dan berbagai fitnah lain lagi).

Itulah arti sebenar Cinta. Maksud 'menjaga' itu, ada kehendak tersirat yang perlu difahami.

Khamis, 2 Mac 2017

Isu Debat RUU 355.

1. Bagi saya ia wajar dilangsungkan. Untuk melihat hujjah dan persoalan yang ingin didebatkan itu. Dan masyarakat boleh menilai dengan lebih jelas nanti.

2. Kedua-dua tokoh adalah tidak kurang hebatnya. Mempunyai ilmu dan pengaruh yang luas. Disinilah fakta-fakta ilmiah akan ternilai dengan tersendirinya.

3. Tidak timbul soal tidak hormat, tiada adab dan seumpamanya lagi. Kerana ia sekadar perdebatan dan perbincangan dalam lingkungan ilmu lagi.

4. Masyarakat boleh menilai, mungkin ada perkara yang baru, yang belum diketahui, yang belum jelas, yang munasabah, yang bertentangan dan apa sahaja lagi dengan keluasan perbahasan Agama ini.

5. Jika jelas menolak kita tinggalkannya dalam soal ini.

6. Jaga akhlak dan adab kita, kawal emosi, sabar dari berbahasa keji, menuduh yang bukan-bukan, memfitnah dan bersangka buruk.

7. Para ulama dahulu pun juga berdebat, dengan anak murid, kawan dan lawan.

8. Ia juga akan mengukur kemampuan dan keilmuan kita.

9. Mungkin selama ini hanya berada dalam kelompok kita sahaja, sedang banyak pandangan dan perbezaan yang baik diluar sana.

10. Apapun saya menyokong cadangan debat ini. Semoga ianya berjaya dilangsungkan. InshaAllah para Ulama akan makin didekati dan disayangi.

Selasa, 28 Februari 2017

Berdoa Dengan Nama Allah.


« اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِأَنَّ لَكَ الْحَمْدُ ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ الْمَنَّانُ ، بَدِيعُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ ، يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ »

“Ya Allah, saya meminta kepada-Mu, Engkau yang memiliki segala pujian, tiada Tuhan selain Engkau yang Esa tanpa sekutu, Maha Pemberi Anugerah, yang menciptakan langit dan bumi, yang Maha Agung dan mulia, yang Maha Hidup dan mengurus segala sesuatu.” Rasulullah Saw bersabda: “Dia telah berdoa dengan nama Allah yang Agung, yang jika diminta dengan nama tersebut Allah akan mengabulkan.” (HR Abu Dawud 2/80, Ibnu Majah 2/1268, Nasa’i 3/52, & Turmudzi 5/550)

« اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ أَنِّي أَشْهَدُ أَنَّكَ أَنْتَ اللَّهُ ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ الْأَحَدُ الصَّمَدُ ، الَّذِي لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ »

“Ya Allah, saya meminta kepada-Mu, saya bersaksi tiada Tuhan selain Engkau, yang Maha Esa, tempat bergantung segala sesuatu, yang tidak beranak dan tidak diperanakkan, yang tidak ada sekutu bagi-Nya.” Rasulullah Saw bersabda: “Dia telah berdoa dengan nama Allah, yang jika diminta dengan nama tersebut Allah akan mengabulkan.” (HR Abu Dawud 2/79, Ibnu Majah 2/1267, Turmudzi 5/515, & Ahmad 5/360)

« اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ يَا أَللَّهُ بِأَنَّكَ الْوَاحِدُ الْأَحَدُ الصَّمَدُ ، الَّذِي لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ ، أَنْ تَغْفِرَ لِي ذُنُوبِي إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ »

“Ya Allah, saya meminta kepada-Mu, ya Allah yang Maha Esa, tempat bergan 
segala sesuatu, yang tidak beranak dan tidak diperanakkan, yang tidak ada sekutu bagi-Nya, untuk mengampuni dosa-dosa saya, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi Ampunan dan Maha Penyayang.” (HR Nasa’i 3/52 & Ahmad 4/338)

Sabtu, 4 Februari 2017

Ubah Akhlak, Kita Akan Berjaya.

Alhamdulillah, nasihat ini saya tujukan kepada semua masyarakat dan terutamanya kepada sahabat saya. Antara perkara yang paling sukar ialah menasihati sahabat dan menerima nasihat dari sahabat, ini termasuk jua diri saya sendiri. Namun hakikatnya itulah yang benar-benar terjadi kerana sahabat kita tahu keadaan kita, demikian jika tidak bukanlah dipanggil sahabat. Apabila kita cuba merenung diri seorang diri, pasti kita akan akui ada benarnya apa yang diperkatakan sahabat kita.

Yang ingin dibicarakan ini adalah tentang akhlak, sesungguhnya akhlak itu penting, pada Agama tidak terkira betapa banyak dan tegasnya Agama telah mengingatkan kita dengan dalil yang sarat akan peringatan memelihara Akhlak.

Ubahilah Sikap Kita;

1. Ketika berbeza parti dengan kita, ketika berbeza dengan cara tersendiri kita, ketika berbeza dengan kebiasaan kumpulan rakan-rakan kita yang lain, ketika berbeza warna kulit, rupa, keturunan, pangkat, dan pekerjaan dengan kita, ketika berbeza umur dengan kita, ketika berbeza tahap pengajian dengan kita, ketika berbeza dengan cara dakwah kita, ketika berbeza proses tarbiyyah kita, ketika berbeza logo dengan kita, ketika berbeza pendapat dengan kita, ketika berbeza dengan pegangan kita, hatta ketika berbeza dengan aqidah kita. Dan apa sahaja perbezaan kita.

Jagalah adab dan akhlak, maksud disini peliharalah lisan dari caci maki, kata nista, bahasa buruk, kokor, keji, provokasi, ucapan negatif, sangka buruk, gurauan dosa, mencarut, menghina, mengutuk, memfitnah, mengumpat, mengadu domba, menyindir, dan sebagainya lagi.

Elakkan diri kerana ia dosa, tidak membawa kebaikan pada diri dan masyarakat, pada negara dan agama. Kecuali kenikmatan dosa pada pelaku dan mereka yang turut sedemikian perilakunya. Perkembangan islam menjadi mundur dan sempit. Imej islam rosak. Orang semakin jauh dengan islam. Rugi dunia dan akhirat kita.

Rosaknya akhlak adalah martabat yang paling rendah dan bukan cerminan utama bagi seorang muslim, dan ia kegagalan paling besar.

2. Kemungkinan terjadi juga ia walau dengan ibubapa kita, guru, dan saudara mara kita. Namun ingat soal akhlak dan adab adalah lebih utama perlu diwaspadai untuk dijaga.

3. Bukalah minda, luaskan bacaan, banyakkan berfikir dalam pergaulan, buat penghijrahan, keluar dari ketaksuban, jauhi kejahilan, fahami quran dan sunnah, pelbagaikan guru, buatlah kajian, dakwah tanpa sempadan, tambah pengetahuan, tenangkan fikiran dan binalah perubahan. 

4. Usah malu dengan kejahilan diri, dan lebih bahaya ta’asub yang membawa kepada keegoan, kekerasan pemikiran, dan kejahilan pengetahuan. Kita tiada jawapan ilmu jika orang bertanya kepada kita. Namun yang ada bertukar kejian dan sindiran.

5. Jika gagal di sudut akhlak, sekecil perbezaan dan cabaran sudah hilang kawalan akhlak, maka tersangat jauh lagilah perjalanan kita, bahkan risau ia menuju kepada kezaliman kepada diri sendiri.

6. Andai kita tidak mampu mendatangkan hujjah yang betul. Tak mengapa, maafkan diri kerana kelemahan diri dan bersabarlah dari memberi komen yang tidak baik, ataupun cukup mangambil mana-mana pandangan dari orang lain yang betul untuk dikongsikan. Justeru kita perlu banyakkan lagi belajar, membaca, mengkaji dan beramal. InshaAllah kita akan berjaya menjawab dengan baik dan juga berjaya diam apabila tidak mampu menjawab.

7. Kejayaan orang kafir dan mereka yang melawan islam kerana mereka tahu akhlak itu penting. Sedang kegagalan kita adalah penyakit kita seperti yang saya sebutkan diatas. 

8. Tahap usrah, dan apa sahaja program dakwah dan tarbiyyah. Sesiapa yang membaca ini jika kita dipihak bawah atau atasan. Perlulah sangat ditekankan lagi soal akhlak ini. Kerana kesannya begitu rendah semenjak dahulu lagi. Banyakkan pengajian berkitab. Seminar dan wacana ilmiah. Luaskan kitab yang dibaca. Fokus dan utamakan aspek sebegini. Buat secara besar-besaran. Laksanakan daurah khas. Kerap kalilah mengingatkannya. Tegas dan terus beranilah memberi teguran samaada terbuka atau tertutup. InshaAllah jika ada usaha yang jujur diakui pasti berjaya diubah.

9. Sudah terbiasa akhlak buruk bersama rakan taulan, hatta ketua sendiri perlu diubah. Bahasa dalam rutin harian kita, dalam group whatsapp dan perjumpaan kita semua perlu diubah.

10. Label keluar islam, munafik, dan soal kafir mengkafir ini jangan sesekali kita permainkan. Label lari dari perjuangan islam, neraka, sesat, dan apa sahaja label hendaklah dibersihkan.

11. Dakwah kita sangat sempit dan begitu kecil sifat rahmatnya, berbeza hanya sedikit bahkan sebenarnya dibenarkan perbezaan tersebut namun sudah memulau, melabel, berbahasa yang memalukan, bersangka buruk dan sepertinya lagi. Hal ini sangat bersalahan dengan sunnah dakwah serta memberi pulangan kegagalan hingga kepada diri sendiri.

12. Ia bermula dengan apabila tiada hujjah, semangat terlebih, dan terkena penyakit melabel. 

13. Penyakit kritikal yang perlu kita kawal sebaiknya adalah jahil, menjadi taksub, sedang semangat tinggi, lalu membawa sifat beremosi, mudah berprasangka buruk, maka lahirlah bahasa dan tulisan yang keji.

14. Pertuturan dan tulisan keji ini bukan sifat orang beriman, tidak mengira dari pas atau parti lain, tidak mengira anak ulama, ustaz, ketua, penyokong dan sebagainya.

15. Beranikan cerita hujjah yang betul, tak perlu takut nanti orang silap faham, tak faham, keliru, terjadi fitnah, dan sebagainya. Pecahkan khurafat sebegini.

16. Usah cepat berfahaman pelik, merunsingkan dan merisaukan apabila orang lain tidak lagi bersama dengan kita, berbeza dengan kita, saling berdakwah dan teruslah mengajak kepada kebaikan. Tuhan Maha Menilai kita semua.

17. Kita mesti berusaha melahirkan pengikut serta pendokong yang berilmu. Bukan yang mengampu, wala' dan bersemangat tinggi semata. Namun seiring mempunyai dalil ilmu, kefahaman yang luas terbuka dan akhlak yang merentasi fahaman.

18. Jawapan kita jangan menutup pintu ilmu, minda berfikir dan keberanian bertanya, binalah suasana sehingga masyarakat berani dan santai boleh bertanya serta mendapat penjelasan hingga sejelasnya dengan mudah.

19. Kita sering mengata orang yang yang ramai sudah berubah,  terpesong arah dan sebagainya. Sedang kita lupa yang kita sendiri sebenarnya telah berubah kepada menurunnya tahap akhlak kita.

20. Berbeza hatta banyak berhujjah dengan pemimpin sendiri bukan satu kesalahan, bahkan sangat dianjurkan. Wala' dan taksub biarlah makin mematangkan dan mencerdikkan pendokong.

21. Jika ada pemimpin yang tersilap buruk akhlaknya, maka akuilah. Jika orang bawahan melihat akhlak yang tidak benar serta buruk dari pemimpin, maka berani tegurlah. Jika sesama kita melihat kesilapan akhlak maka zahirkan dengan menegur.

22. Akhirnya, biar berbeza tapi berhujjah dengan baik walau tajam tak mengapa, yang penting hujjah dan adab. InshaAllah kita akan berjaya dan mencapai “Politik Matang dan Sejahtera.” Serta istiqomah dengan amal soleh itulah yang menempuh kejayaan sebenarnya. Selagi kita tidak mahu berubah selagi itulah kita tetap gagal walaupun kita telah menang undi! 

Demikianlah berhenti disini dahulu apa yang terlintas, terlalu banyak lagi pengalaman dan pengetahuan yang hakikatnya memang berlaku saya akan cuba ceritakan lagi nanti untuk muhasabah bersama. Saya mengharap, dan akan berusaha, serta mendoakan para sahabat-sahabat dapat memahami dan menyedari akan betapa aib dan hina kejatuhan morak akhlak ini. Rugi di dunia dan lagi menakutkan rugi di akhirat kita.

Agama ini perlu difahami satu persatu, inci demi inci, tersirat dan tersurat, percaya dan berfikir. Al-Quran banyak menyatakan apakah tidak berfikir, moga peningkatan hujjah serta keterbukaan dengan Agama kita makin tinggi. Agama melangkaui perbezaan. Terima kasih.

Ahmad Firdaus Bin Azis.
4 Februari 2017.
Sabtu, 11:30 am. Ipoh, Perak.

Khamis, 19 Januari 2017

Soal Rezeki, Jom Baca.

1) Kisah Pertama (Runsing):

Dikisahkan, Ibrahim bin Adham menemui seorang lelaki yang kerunsingan. Beliau pun bertanya kepadanya: “Wahai saudara, aku mahu bertanya kamu tiga soalan, mohon kamu jawab dengan jujur.”

“Baiklah.” Jawab lelaki tersebut.

“Adakah pernah berlaku sesuatu di alam ini tanpa kehendak Allah?

“Tidak!”

“Adakah akan berlaku rezeki yang ditakdirkan berkurang walau sedikitpun.”

“Tidak.”

“Adakah akan berkurang walaupun sesaat ajalmu yang telah ditakdirkan?”

“Tidak!”

Nah, tentang apa lagi yang kamu hendak runsingkan?”

Pengajaran: Kita mungkin sibuk merunsingkan perkara yang belum pasti sehinggakan melupakan perkara yang pasti.

2) Kisah Kedua (Dua Harta):

Abu Hazim al-Zahid ditanya: “Apa hartamu?”

“Hartaku ada dua, dengannya aku tidak bimbang jatuh fakir;

1- Percaya dengan Allah
2- Dan putus asa untuk berharap dengan apa di tangan manusia.”

“Kamu tidak takutkah jatuh fakir?”

“Bagaimana mungkin aku takut fakir sedangkan tuanku si pemilik segala yang ada di langit dan bumi.”

[Jami‘ al-Ulum wa al-Hikam karya Ibn Rajab].

3) Kisah Ketiga (Rupa-Rupanya Ini Sahaja Harta Kita):

1. Apa-apa yang kita makan sampai habis.
2. Apa-apa yang kita guna sampai rosak.
3. Apa-apa yang kita dermakan.

Nabi shallallahua'laihi wasallam bersabda: “Anak Adam berkata: 'Hartaku, hartaku!' Sedangkan bukanlah hartamu melainkan apa-apa yang kamu makan sampai habis, apa-apa yang kamu pakai sampai lusuh, atau apa-apa yang kamu dermakan lalu biarkannya.” (Hadith Riwayat Muslim).

20 Januari 2017.
Jumaat, 1.15 am. Ipoh, Perak.


Rabu, 18 Januari 2017

Kalau orang mengumpat aku, aku yang dapat pahala.

Penting! Satu kisah yang baik untuk dijadikan panduan dan pengajaran. Kata kebiasaan kita: “Biarlah aku nak buat apapun, kalau orang mengumpat aku, aku yang dapat pahala.”

Mari kita baca kisah dibawah ini sekejap.

Kisah Ibrahim al-Nakha’ie Bersama Anak Muridnya:

• Diriwayatkan bahawa Ibrahim al-Nakha’ie adalah seorang yang buta dan anak muridnya, Sulaiman bin Mehran al-A’masy pula seorang yang rabun. Satu hari keduanya berjalan bersama-sama menuju ke masjid. Kata Ibrahim: “Sulaiman, apa kata kamu ikut jalan yang lain manakala aku pula ikut jalan yang lain kerana aku takut nanti orang ramai melihat kita lalu berkata si buta dipimpin si rabun lalu mereka mengumpat kita dan mendapat dosa”. Kata Sulaiman: “Wahai guruku, apa salahnya kita akan mendapat ganjaran pahala dan mereka (yang mengumpat) berdosa”. Jawab Ibrahim: “Tidak, kita selamat dan mereka juga selamat itu lebih baik dari kita diberi ganjaran pahala sedangkan mereka mendapat dosa”. [Lihat al-Muntazom fi Tarikh al-Muluk wa al-Umam karya Ibn al-Jawzi, 7/22]

• Lihatlah akhlak yang telah ditonjolkan oleh Ibrahim al-Nakha’ie yang mana beliau bertanggungjawab ke atas perbuatannya. Boleh saja mereka berdua berjalan bersama untuk pergi ke masjid. Namun, apabila memikirkan mulut dan hati manusia lain yang tidak boleh di kawal dari mengumpat dan mencaci, maka mereka menggunakan jalan yang lain agar jauh dari manusia yang lain. Mungkin kita lebih suka untuk mendapat pahala hasil daripada umpatan orang lain sedangkan tanpa kita sedari perbuatan kita itu sendiri yang telah mengundang cacian dan umpatan. Ini tidak disukai oleh Ibrahim al-Nakha’ie dan baginya jika kedua-duanya terselamat adalah lebih baik.

• Begitulah realiti pada masa kini. Janganlah kita cuba untuk menempah fitnah dengan perbuatan kita yang pada asalnya tidak bermasalah namun, jika tidak kena cara dan tempatnya boleh mengundang fitnah. Mentaliti seseorang yang mengatakan, “Biarlah aku nak buat apapun. Kalau orang mengumpat aku, aku yang dapat pahala” sangat tidak selari dengan prinsip dan akhlak Islami yang mana suka akan ditutupnya pintu-pintu fitnah dari tersebar luas. - Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

19 Januari 2017.
Khamis, 7.30 am. Ipoh, Perak.

Sabtu, 14 Januari 2017

Klinik Hukum pula, Mufti Yang Hebat.

1) Hebatnya beliau, sejak sebelum menjadi Mufti lagi beliau sudah memang terkenal dengan kefaqihan ilmu dan sifat tawadhuk serta kesederhanaanya dalam dakwah. Namun setelah dilantik menjadi Mufti Wilayah pada 23 Jun 2014 kita boleh melihat sendiri betapa cepat dan banyaknya tumbuh bermacam program, pembinaan dan penambahbaikan dalam ruang dakwah dan kebaikan pada Agama ini.

2) Ini menunjukkan dalam masa yang sama pentingnya kuasa dan jawatan dalam menyebarkan seluasnya lagi dakwah ini terutama di zaman yang canggih dan masyarakat yang fokus terhadap dunia internet.

3) Beliau telah memanfaatkan semaksima dan sebaik mungkin akan jawatan, kuasa, kemudahan dan peruntukan Mufti itu untuk Islam ini. Beliau juga banyak mencetuskan idea yang baru, dan kelainan dalam tarikan agar masyarakat lebih dekat dan senang dengan seorang yang bergelar Mufti.

4) Sangat penting kepada siapa diserahkan jawatan mufti, anggota pekerja di jabatan agama, zakat dan sebagainya lagi yang berkait dengan institusi Agama ini, kerana jika tersilap dan sewenangnya dipilih maka Agama menjadi mangsa dan menjadi lemah. Banyak perkara sepatutnya dibuat tidak dibuat, banyak terbantut dan terhalang kerana kuasa berada ditangannya, seolah Agama juga ditangannya. Hal ini tidak pelik jika kita melihat sendiri institusi Agama yang suram dan gagal menghidupkannya dalam membantu dan menyelesaikan masalah umat. Contoh kita melihat teks khutbah, maka kita akan mengetahui ditahap mana kesungguhan dan kemampuan mereka yang memegang jawatan dalam menguruskannya. Juga kita melihat pekerja-pekerja di Institusi Agama sendiri gagal memahami sebaiknya Agama dan menunjukkan sikap Beragama yang benar dan tinggi seiring pekerjaannya yang merupakan imej Agama.

5) Beliau juga aktif dengan media semasa dan isu semasa. Dengan kepakaran yang dimiliki, beliau berjaya memberi respon yang pantas disertai pula penjelasan yang jelas dan penuh sikap berlapang dada.

6) Contoh ini boleh ditiru sebenarnya oleh kita, di pihak parti-parti, ngo-ngo, dan sebagainya. Peringkat kampung, dun dan parlimen, ketika bermacam atucara program dijalankan kita, boleh dibukakan Klinik Fatwa dan Hukum seperti ini.

7) Jika mereka yang sakit demam dan sebagainya perlukan ubat dan mencari ubat di klinik dan farmasi, maka begitulah sebarang penyakit kemusykilan agama ini lagilah memerlukan ubat dan lebih berhajat dicarinya. Penyakit hati, dalaman, dan segala masaalah hidup. Tahniah buat Mufti Wilayah Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri atas idea Klinik Hukum ini dengan percuma sahaja. Semoga Allah memberkati Dr dan mereka yang terlibat menjayakannya. Segala Pujian Bagi Allah. Tahniah!

15 Januari 2017.
Ahad, 2.30 am. Ipoh, Perak.